Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Dr. Mohd. Zamzam Jaafar berkata, segala input yang diperoleh sepanjang lawatan tersebut akan dipertimbangkan dalam merancang pembinaan loji tenaga nuklear pertama negara pada 2031.

“Lawatan kerja ini dibuat bagi memenuhi jemputan Pusat Kerjasama Antarabangsa (JAIF) Forum Industri Atom Jepun (JICC) dalam memupuk kesedaran awam mengenai tenaga nuklear dari segi keselamatan dan penggunaannya termasuk kesan kepada alam sekitar.

“Diharapkan pada akhir lawatan ini nanti, pelbagai input dapat diperoleh dalam merancang cadangan pembukaan loji tenaga nuklear pertama negara menje­lang 2031,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 25 peserta terma­suk wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menyertai lawatan ke beberapa stesen dan loji janakuasa nuklear di Jepun selama enam hari.

Delegasi itu diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.

Lawatan kerja tersebut bertujuan memberi pemahaman umum mengenai tenaga nuklear terutama dari aspek membekalkan tenaga elektrik serta penerimaan masyarakat dan kesan kepada alam sekitar.

Stesen yang dilawati ialah Ste­sen Tenaga Nuklear Kashiwazaki-Kariwa yang merupakan stesen tenaga nuklear terbesar di dunia dan Loji Tenaga Nuklear Ikata serta kilang pengeluaran reaktor nuklear, Mitsubishi Heavy Industry.

Minggu lalu, sekumpulan pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyerahkan Laporan Semakan Bersepadu Infrastruktur Nuklear (INIR) me­ngenai cadangan Malaysia untuk membina loji tenaga nuklear yang dijangkakan pada 2031.

MNPC diberikan tanggungjawab untuk mengkaji perkara tersebut dan kini masih berada di fasa pertama sebelum cadangannya dilaksanakan.