Presiden Pertubuhan Wanita Dalam Nuklear (WIN) Malaysia, Dr. Noor Hasnah Khairullah berkata, kerajaan berhak membuat keputusan untuk tidak memiliki loji tersebut tetapi demi masa hadapan untuk negara memiliki bekalan tenaga berte­rusan, keputusan tersebut perlu dikaji semula.

“Lebih-lebih lagi jika Malaysia hendak menjadi negara maju, industri penuh dan populasi penduduk yang semakin mening­kat, penggunaan tenaga juga perlu ditingkatkan dengan sumber yang dapat menampung bekalan berterusan.

“Ditambah lagi bekalan tenaga melalui sumber fosil, minyak atau arang batu, lama kelamaan akan habis. Melalui sumber-sumber tenaga lain seperti solar dan hidro pula hanya memberikan sumbangan yang agak kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas majlis perasmian Persidangan Tahunan Kali Ketiga WIN Malaysia 2018 di Agensi Nuklear Malaysia, Bangi dekat sini, hari ini.

Persidangan tersebut diras­mikan Timbalan Ketua Pe­­nga­rah (Penyelidikan dan Pemba­ngunan) Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Zulkifli Mohamed Hashim.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu Malaysia meneruskan polisi bebas nuklear bagi menjana kuasa elektrik, sebaliknya meneruskan penggunaan bahan api yang dijamin lebih selamat.

Noor Hasnah berkata, kebimbangan mengenai kesan radiasi seperti kebocoran radiasi yang teruk di Loji Janakuasa Nuklear Fukushima Jepun pada 2011, hanya disebabkan oleh malapetaka alam.

“Akibat kejadian gempa bumi pada sembilan skala Richter diikuti dengan kejadian tsunami yang dahsyat menyebabkan loji janakuasa nuklear tersebut yang dibina sejak 1970-an itu musnah dan mengalami kebocoran.

“Malaysia boleh belajar daripada pengalaman negara-negara lain yang mempunyai loji janakuasa nuklear supaya negara bakal mempunyai loji sendiri yang lebih selamat dengan ciri keselamatan paling tinggi,” katanya.