Syarikat berpangkalan di Perancis, Arkema; CJ CheilJedang (Korea Selatan), Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam satu kenyataan bersama di sini memberitahu, ini termasuklah 474 pekerja yang akan diambil oleh CJ dan Arkema selaku pemilik fasiliti bersepadu tersebut.

“Sebanyak 60 peratus daripada mereka ini (474 pekerja) terdiri daripada pekerja teknikal dan pekerja berasaskan pengetahuan peringkat tinggi seperti ahli mikrobiologi, ahli kimia, jurutera dan ahli bioteknologi.

“Untuk tempoh jangka panjang pula, projek ini dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM20.4 bilion,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian projek tersebut yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Arkema, Thierry Le Henaff berkata, Malaysia khususnya Kertih merupakan lokasi strategik bagi melebarkan sayap perniagaan mereka di Asia.

“Malaysia berada di tengah-tengah kumpulan pengedar yang membangun dengan pesat, mempunyai populasi Zon Pusat Kecemerlangan Asia Pasifik (APAC Zone) yang tinggi serta pasaran utama kami dari Jepun, China dan Korea Selatan hingga ke selatan Australia dan barat India.

“Justeru, kami yakin yang projek ini akan memberi keuntungan kepada semua pihak,” katanya yang memberitahu projek tersebut me­rupakan yang terbesar di bawah kendalian syarikatnya setakat ini.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif CJ Bio Malaysia, John Kang pula, pihaknya percaya KBP akan menjadi hab utama bagi syarikat-syarikat industri bioteknologi untuk tahun-tahun akan datang.

“Loji biometionina di Kertih akan menjadi lokasi utama yang strategik untuk pasaran yang bahaeu muncul di China dan Asia. Saya percaya ini adalah permulaan inovasi utama dari CJ BIO,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp., Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal pula menyifatkan, negara sepatutnya berbangga kerana menerima fasiliti biometionina berasaskan penapaian pertama dan terbesar di dunia serta platform tiokimia yang terbesar di Asia.

Turut sependapat dengan beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John yang mahu fasiliti bersepadu itu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Saya melihat BKP ini mampu menawarkan pelbagai peluang ko­mersial kepada syarikat-syarikat bioteknologi dari seluruh dunia.

“Kami juga yakin bahawa keha­diran gergasi global sepeeti CJ dan Arkema akan menarik kemasukan lebih banyak penggiat bioteknologi bertaraf dunia ke taman industri ini dalam masa terdekat,” katanya.