Inisiatif melalui konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu turut disertai nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kemasik dan masyarakat setempat.

Program kali ini digerakkan sempena Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 yang akan dilancarkan pada 14 Oktober depan olehTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pantai Kuala Kerteh.

Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim memberitahu, antara objektif Program Jiwa Murni ini adalah mengeratkan silaturahim antara LKIM, TLDM dan masyarakat nelayan.

“Juga mewujudkan kerjasama antara dua agensi kerajaan (LKIM & TLDM selaku rakan strategik dalam menjamin keselamatan perairan negara, sekali gus memberi pendedahan peranan dan tanggungjawab masing-masing kepada masyarakat.,” ujarnya ketika merasmikan program itu.

Yang turut hadhir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM, Untong Keri; Pengarah LKIM negeri, Zawahid Shamsuddin; Pengerusi Persatuan Nelayan Kemasik, Abdul Ghani Ismail dan wakil Panglima Wilayah Laut 1 Pengkalan TLDM Tanjung Gelang, Left.Mohd Naim Awaludin.

Program sehari dengan penglibatan 300 peserta dipenuhi pelbagai kegiatan termasuk gotong-royong membersih dan megecat kawasan jeti dan kompleks pendaratan.

Turut dilakukan baik pulih kemudahan kompleks termasuk tandas dan surau serta majlis ramah mesra bersama nelayan di samping solat berjemaah.

“Program ini akan diteruskan sebagai kegiatan tahunan bagi LKIM dan TLDM dalam usaha mengukuhkan kerjasama strategik bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat nelayan.

“LKIM juga telah dan akan terus melaksana pelbagai program dan inisiatif agar masyarakat nelayan tidak terpinggir dalam arus perubahan,” ujarnya.

- UTUSAN ONLINE