Pengerusinya, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, program-program tersebut telah dirang­ka sepanjang rantaian nilai industri perikanan bermula daripada penangkapan sehinggalah kepada pemprosesan serta kemudahan infrastruktur seperti kompleks, bilik sejuk dan kilang air batu.

Tambahnya, beberapa langkah turut akan diambil bagi mentransformasikan persatuan ne­layan supaya dapat terlibat sepenuhnya da­lam rantaian industri perikanan negara.

“LKIM telah me­rangka Program Kluster Projek Ekonomi Persatuan Nelayan dengan enam kluster utama telah dikenal pasti iaitu penangkapan ikan; akuakultur; pemasaran ikan; pemprosesan dan pemasaran produk asas perikanan; pengurusan dan pengoperasian kemudahan kompleks ser­ta agropelancongan,” katanya.

Ketika ini terdapat 102 persa­tuan nelayan terdiri daripada 88 persa­tuan nelayan kawasan, 13 persa­tuan nelayan negeri dan sebuah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

Sementara itu, Ketua Pengarah LKIM, M. Saedon Ab. Majid berkata, program yang dirangka bagi lima tahun bermula 2016 hingga 2020 itu mempunyai objektif utama untuk mewujudkan sumber ekonomi baharu persatu­an nelayan, sekali gus memberi faedah langsung kepada 100,000 orang ahli persatuan nelayan.

“Bagi merealisasikan program sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kluster terpilih telah diperuntukkan sebanyak RM155 juta bagi melancarkan pelaksanaan setiap program terbabit.

“LKIM menyasarkan jumlah urusniaga bagi Program Kluster Projek Ekonomi Persatuan Nelayan pada 2020 berjumlah RM2.2 bilion dengan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding 2015. LKIM juga optimis penglibatan lebih banyak persatuan nelayan dalam kluster ekonomi penangkapan ikan terutamanya penangkapan ikan laut dalam,” katanya.

Tambahnya, penglibatan le­bih banyak persatuan nelayan dalam penangkapan ikan laut dalam adalah selari dengan hasrat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengumumkan penawaran 20 lesen laut dalam zon C kepada persatuan nelayan yang memenuhi syarat.

“Pemberian lesen ini akan dibuat secara berperingkat-pe­ringkat sehingga 2020 dengan konsep pemodenan vesel dan menggunakan kru tempatan. Perikanan laut dalam adalah sebuah perusahaan bernilai tinggi yang mampu memberi pulangan menguntungkan kepada pengusaha dan pada masa sama me­ningkatkan lagi nilai urusniaga persatuan nelayan dalam keseluruhan industri perikanan negara,” katanya.

Kata Irmohizam, semua persatuan nelayan termasuk NEKMAT adalah disaran untuk terlibat secara langsung dalam rantaian industri perikanan iaitu dengan membeli daripada nelayan, mengedar serta men­jual terus kepada pengguna. Melalui kaedah ini tentunya dapat membantu dan menguntungkan semua pihak iaitu nelayan, persatuan nelayan dan pengguna.

Katanya, selain program eko­nomi, LKIM juga menyediakan pelbagai program bantuan dan peningkatan kesejahtera­an hidup nelayan seperti Program Elaun Sara Hidup Nelayan, Skim Insu­rans Nelayan Secara Ber­ke­lompok dan Projek Khas Perumahan Nelayan.

“Program Elaun Sara Hidup Nelayan telah bermula pada Jun 2008 dengan kadar RM200 bagi seorang nelayan yang diberi setiap bulan. Mulai 2015, kadar tersebut dinaikkan kepada RM300 bagi nelayan zon A dan RM250 sebulan bagi nelayan zon B, C dan C2. Program ini telah memberi faedah kepada 50,000 orang nelayan,” katanya.

Tambahnya, Skim Perlindu­ngan Insurans Nelayan Secara Berkelompok pula memberi perlindungan 24 jam kepada peserta membabitkan kes kematian dan kecedera­an yang disebabkan oleh kemalangan. Peserta yang dilin­dungi terdiri daripada nelayan yang berdaftar dengan LKIM di bawah Program Elaun Sara Hidup Nelayan.

“Sehingga Mei 2017, seramai 728 orang nelayan telah mene­rima faedah dengan nilai pampasan berjumlah RM5.497 juta sejak pelaksanaan program itu pada Mei 2014. Bagi tempoh Jun 2016 sehingga Mei 2017, seramai 54,401 orang nelayan telah diinsurankan dan seramai 88 orang nelayan telah menerima pampasan berjumlah RM1.497 juta,” katanya.

Turut dilaksanakan, Projek Khas Perumahan Nelayan yang dimulakan pada 2012 bertujuan membantu golongan nelayan berkelayakan membaikpulih dan membina baharu rumah.

“Program ini telah dilaksanakan berdasarkan tiga kategori iaitu Baik Pulih Rumah Nelayan, Program Bina Baru dan Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) dengan peruntukan berjumlah RM459 juta.

“Sehingga Mei 2017, sebanyak 30 buah rumah telah dan sedang dibina di bawah kategori Bina Baru manakala 19,027 buah rumah nelayan telah diluluskan di bawah kategori Baikpulih Rumah Nelayan,” kata Irmohizam.

Jumlah tersebut tidak termasuk rumah yang dibina di bawah Program Penempatan Semula Nelayan yang dilaksanakan di Perak iaitu sebanyak 178 buah rumah dan masing-masing 300 rumah di Kedah, Perlis dan Pahang, serta 126 buah di Melaka dan 570 buah rumah di Sarawak.

Bagi menilai tahap sosioekonomi nelayan serta keluarga mereka, LKIM akan menjalankan banci Sosio Ekonomi Nelayan dan Data Isi Rumah (SENDI) bermula 15 Ogos ini hingga 31 Oktober 2017. Bancian tersebut merupakan kali ketiga sejak kali terakhir dilaksanakan pada 2008.

Melalui bancian ini juga, LKIM akan dapat mengetahui tahap pendapatan dan pemilikan aset golongan nelayan.

Bancian itu akan dilaksanakan di seluruh negara melibatkan le­bih 70,000 orang nelayan.