Irmohizam Ibrahim

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, jumlah sedia ada di 118 lokasi itu akan diperluaskan ke 200 hingga 250 lokasi termasuk kedai dan pasar tani dari semasa ke semasa bagi membolehkannya beroperasi secara menyeluruh di negara ini.

‘‘Kami akan memperluaskan lagi jualan fasa pertama ini dengan menjalinkan kerjasama persatuan nelayan lain selain di Selangor, Terengganu dan Kedah.

‘‘Ia juga sejajar dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu program ini diperluaskan untuk meringankan beban rakyat dengan menawarkan harga berpatutan terhadap ikan segar tanpa bergantung kepada faktor cuaca atau musim,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sejak semalam, harga ikan melambung tinggi berikutan perubahan cuaca dan hujan berterusan yang menyebabkan ikan kembung terutamanya naik mendadak sehingga RM18 sekilogram.

Sementara itu, Irmohizam berkata, harga Q’Fish amat berpatutan, berkualiti, bernutrisi dan menggalakkan gaya hidup sihat.

‘‘Harga yang ditawarkan tidak melebihi RM10 sekilogram dan setanding dengan kua­liti ikan segar selain tidak menggunakan sebarang bahan pengawet berbahaya bagi mengekalkan khasiatnya sebagai sumber protein,’’ katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman mengalu-alukan penambahan lebih banyak jualan ikan Q’Fish di seluruh negara terutamanya ketika keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.