Lisa Surihani berkata, beliau berazam akan menjalankan tugas tersebut dengan penuh tanggungjawab bagi membela nasib kanak-kanak di negara ini agar dapat hidup dalam keadaan gembira, sihat dan selamat.

“Saya teruja selepas dipilih men­­­jadi duta kepada orga­nisasi terbesar dunia ini dan sedar ini merupakan satu tanggungjawab berat.

“Namun, tugas ini tepat pada masanya memandangkan saya juga seorang ibu dan mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja sukarelawan sebelum ini terutama semasa di alam persekolahan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis me­raikan pelantikannya sebagai duta rasmi UNICEF Malaysia di sini, hari ini.

Untuk tempoh selama dua tahun mulai tahun ini, beliau akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mewujudkan kesedaran mengenai isu berkaitan kanak-kanak, kesela­matan internet dan pencegahan keganasan kanak-kanak menerusi pelbagai program serta kempen.

Sementara itu, wakil UNICEF di Malaysia, Mariane Clark-Hattingh berkata, pihaknya ya­kin populariti Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2015 tersebut mampu menjayakan pelba­gai matlamat pertubuhan khas antarabangsa untuk kanak-kanak tersebut.