Mereka terdiri daripada Dr. Chin Kok Yong dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Amirah Abdul Latif dan Dr. Haslina Ahmad (Universiti Putra Malaysia), Dr. Oon Chern Ein (Universiti Sains Malaysia) dan Liew Peng Yen (Universiti Teknologi Malaysia).

Naib Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Profesor Dr. Asma Ismail berkata, mesyuarat di Lindau, Jerman itu merupakan platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada saintis muda selain membolehkan mereka berinteraksi dan bertukar pandangan dengan penerima anugerah tersebut atau saintis berpengalaman.

“Mesyuarat yang bermula 29 Jun sehingga 4 Julai ini bukan sahaja mengetengahkan saintis muda negara ke peringkat global sebaliknya mendedahkan mereka dengan pengetahuan kerana program tersebut turut diisi dengan sesi penerangan daripada pensyarah Nobel Laureates dan seminar.

“Kumpulan yang diwakili empat pensyarah dan seorang penyelidik dari empat universiti awam ini berpeluang bertukar pandangan tentang ilmu sains supaya ia dapat dibawa dan diguna pakai di negara kita untuk kemajuan sains pada masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Asma berkata, kesemua peserta mesyuarat tersebut telah dipilih daripada keseluruhan saintis terbaik di institusi akademik dan yayasan daripada lebih 80 buah negara, malah mereka juga terpilih daripada 25 pencalonan terbaik yang datang daripada negara ini.

Katanya, ASM turut menghantar seorang pelajar Ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD), Tan Sie Ting ke Sistem Analisis Gunaan (IIASA) Program Musim Panas Saintis Muda (YSSP) yang bermula 1 Jun ini di Vienna, Austria.

Selain itu katanya, tiga wakil pelajar daripada pelbagai universiti iaitu Nur Zulaiha Jomhari dari Universiti Malaya, Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof (UPM) dan Wong Wei Wen (Universiti Multimedia Malaysia) dihantar menyertai Program Persidangan Pelajar CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kementerian dan mana-mana agensi untuk bekerjasama dengan ASM dalam menyediakan peruntukan kewangan kepada saintis muda terbabit yang kini ditanggung sepenuhnya oleh institusi pengajian masing-masing.