Sehubungan itu, sebanyak 600 syarikat tempatan dan antarabangsa serta 350 delegasi asing dijangka terlibat dalam LIMA’19 yang akan diadakan dari 26 sehingga 30 Mac tahun depan.

Menteri Pertahanan, Moha­mad Sabu berkata, daripada jumlah tersebut, 60 peratus melibatkan penyertaan sektor pertahanan dan 40 peratus sektor perindustrian dalam acara yang diadakan secara dwitahunan itu.

“Selain itu, penyertaan dan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan sejak 2015 turut berjaya meluaskan penyertaan sektor lain seperti industri perkapalan dan aeroangkasa.

“Saya berharap LIMA’19 nanti berjaya diteruskan dengan pelbagai program serta penyertaan pihak berkaitan seperti syarikat dan juga negara luar dalam mempertingkatkan kerjasama an­tarabangsa serta tempatan,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran LIMA’19 di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengerusi EN Projects (M) Sdn. Bhd., Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd Nor.

LIMA’19 yang bertemakan Defence and Commercial Connecting Intelligence akan diadakan di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri dan Resort World Langkawi.

Tambah Mohamad, penganjuran LIMA’17 sebelum ini yang berjaya menarik kira-kira 555 pempamer dan 371 delegasi dari 49 negara serta 200,000 pe­ngunjung awam berjaya memberi sumbangan kepada sektor pelancongan di Langkawi.

Dalam perkembangan lain, Ke­tua Pegawai Eksekutif EN Projects, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Sabri Adam berkata, kira-kira 60 peratus ruang pameran sudah ditempah pihak industri dari dalam serta luar negara setakat ini.

Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang bulan depan dan penganjur turut mengambil beberapa pendekatan baharu bagi memperkukuh daya efektif acara tersebut dengan memperbaiki inisiatif sedia ada bagi menarik lebih banyak penyertaan.