Lima bersaudara dari Padang Rengas, Perak yang terdiri daripada Muhammad Ridzuan Othman, 38; Muhammad Naim, 32; Mohamad Fitri, 29; Mohammad Firhan, 27 dan Sidiq Fadhil, 26, menerima anugerah bagi ciptaan yang dinamakan TaniMac TraySeederX daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Mohammad Fitri berkata, kejayaan itu merupakan perkongsian kepakaran yang mereka miliki dalam pelbagai bidang dan kelulusan, iaitu elektronik, kejuruteraan mekanikal, seni bina serta reka bentuk industri.

“Kami puas berusaha daripada prototaip pertama sehingga ketiga sejak tahun 2012, malah pernah hampir ‘bungkus’ kerana tidak mampu untuk mengkomersialkan produk ini namun akhirnya kami berjaya memenangi anugerah ini.

“Saya bersyukur kerana berjaya menambat hati juri dan menewaskan 63 peserta lain yang kami kategorikan hebat-hebat belaka kerana turut disertai saintis, penyelidik dan ahli akademik,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah sempena MAHA 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Sharif Haron dan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman.

Menurut Mohammad Fitri, mesin itu mampu menaburkan biji benih 20 kali lebih pantas dalam tempoh satu minit berbanding menyemai biji benih menggunakan tangan.

“Mesin itu dicipta khas untuk membantu para penanam sayur dan buah-buahan sehingga ke saiz biji benih tembikai dengan menggunakan kuasa bateri dan dijual pada harga RM1,599 sebuah.

“Produk ini mendapat permintaan sehingga ke peringkat antarabangsa selepas dibantu Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta MARDI,” katanya.

Tambahnya, mesin itu mampu membantu para petani meningkatkan hasil keluaran pertanian.

“Sempena MAHA kami menawarkan harga istimewa iaitu RM1,299 dan mereka yang berminat boleh mengunjungi gerai kami di Dewan C, MAEPS,” kata­nya yang sedang mereka cipta mesin tabur benih khas untuk biji benih jagung.