LIMA yang memasuki edisi ke-14 sejak diadakan pada 1991 itu mendapat liputan 550 wakil media tempatan dan antarabangsa.

Ketua Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan, Adreena Abdul Majid berkata, lebih 200 media telah mendaftar pada hari terakhir persiapan LIMA 2017 hari ini.

“Kita jangkakan bilangan ini akan bertambah kepada 550 esok iaitu hari perasmian serta hari pertama LIMA 2017,” kata Adreena pada majlis taklimat media di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sebentar tadi.

Sementara itu, pengamal media yang ditemui turut berpusah hati dengan kemudahan media yang disedikan oleh pihak penganjur.

Menurut wartawan Bernama News Channel, Nurul Jannah Kamaruddin ruang kerja untuk media juga luas berbanding edisi 2015.

“Ini kali kedua saya membuat liputan LIMA dan kemudahan yang disediakan kepada media juga berbeza berbanding dua tahu lalu.

“Wifi yang disediakan lebih laju dan memudahkan kami menghantar berita ke ibu pejabat. Ruang kerja juga luas,” kata Nurul Jannah.

LIMA 2017 disertai oleh 36 buah negara dan 555 pempamar. Edisi kali ini dijangka akan dihadiri oleh 40,000 pelawat perdagangan dan 140,000 pengunjung awam.

Sejumlah 101 pesawat udara dan 61 aset maritim turut dibawa dan dipamerkan pada LIMA kali ini.- UTUSAN ONLINE