Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, pada pameran tersebut juga pihaknya akan memperkenalkan rakan strategik untuk pembangunan kenderaan itu.

Malah beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan festival yang boleh memberikan kefahaman berhubung insiatif kementerian tersebut untuk memperkenalkan kereta terbang.

"Kita bukan ditahap tidak mengkaji lagi, kita nak terus daja berjalan. Asyik mengkaji saja, sudah kaji-kaji kita simpan dalam muzium. Kereta terbang sudah ada orang buat, dengar apa yang saya nak umumkan pada 25 sehingga 30 Mac ini. Kita ada rakan strategik, yang memperlekehkan kementerian datang ke LIMA nanti.

"Ramai anak-anak muda umpamanya berminat dengan kereta terbang. InsyaAllah sampai satu tahap yang kita tak boleh jawab sebab terlalu ramai yang bertanya, kita akan adakan satu festival yang boleh memberikan kefahaman apa yang disebut oleh Kementerian Pembangunan Usahawan mengenai kereta terbang, kapal terbang atau drone terbang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Keusahawanan Masyarakat Siam di Dewan Serbaguna Wat Sukhontharam Kampung Kubang Panjang di sini hari ini.

Pada 19 Februari lalu, beliau mengumumkan impian rakyat Malaysia untuk melihat kereta terbang kini selangkah lebih hampir apabila demonstrasi kereta terbang pertama negara dijangka dibuat tahun ini.

Sebuah kereta terbang tersebut dianggarkan menelan belanja sebanyak RM1.2 juta (USD 300,000). Namun pengumuman tersebut menjadi bahan jenaka bagi warganet. - UTUSAN ONLINE