Sabin Samitah

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata, pihaknya telah menyenaraikan beberapa pemain ekonomi gelap seperti kelab-kelab malam, ah long dan pelacuran di negara ini.

Menurutnya, LHDN akan beker­jasama dengan pejabat Peguam Negara (AG), Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membuat serbuan serta menggempur mereka.

“Semua yang terlibat se­perti pengurus dan pekerja kelab malam, ah long dan pelacuran tidak akan terlepas dari tanggungjawab untuk membayar cukai.

“Sebagai contoh aktiviti pelacuran, walaupun terdapat kekangan memandangkan pe­ngurus tidak melaporkan perniagaan mereka kerana diklasifikasikan haram, kita akan meneliti penyata bank, transaksi dan harta-harta individu yang terlibat dengan rangkaian (pelacuran) itu.

“Individu terlibat seperti pengu­rus ini akan dikenakan cukai berdasarkan pemeriksaan pada masa serbuan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah Hasil Sempena Hari Hasil Ke-21 di Dewan Serbaguna Ba­ngunan LHDN Sabah di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah LHDN, Datuk Md. Afendi Hamdan serta Pengarah LHDN ne­geri, Dr. Sotimin Muhalip.

Tambah Sabin, selain kumpulan tersebut, pihaknya akan memberi fokus kepada syarikat-syarikat multinasional melalui aktiviti pindahan harga (transfer pricing).

Dalam pada itu, beliau optimis LDHN berjaya mencapai sasaran kutipan cukai yang ditetapkan oleh kerajaan sebanyak RM127 bi­lion dari seluruh negara manakala di Sabah sebanyak RM3.8 bilion.

Mengenai program derma darah itu pula, Sabin berkata, program tersebut dilaksanakan di 10 cawangan pejabat LHDN di seluruh negara yang bertujuan membantu Pusat Darah Negara mening­katkan bekalan.