Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, umat Islam tidak boleh berdiam diri sekiranya melihat jenayah LGBT dilakukan secara terang-terangan.

“LGBT adalah jenayah Islam, dan kita sebagai umat Islam tidak boleh berdiam diri. Kalau ada kuasa dan nampak perkara itu sedang berlaku dalam kalangan masyarakat, maka tindakan perlu diambil.

“Jangan tunggu ia berlaku secara terang-terangan, baru ambil tindakan. Perkara ini sudah menjadi tanggungjawab kita yang mempunyai kuasa untuk membendungnya,” kata Mohd. Yusof ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Mohd. Yusof mengulas pandangan segelintir pihak kononnya orientasi seks LGBT adalah dosa peribadi antara si pelaku dan Allah.

Sementara itu Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata membenarkan hubungan sejenis LGBT dalam kalangan umat Islam atas alasan ia merupakan hak asasi manusia seolah-olah ‘menolak’ perintah dan hukum-hakam Allah.

Dr. Abdul Rahman berpendapat amalan hubungan sejenis adalah haram dan wajib dicegah.

Sehubungan itu, katanya, pihak yang berkuasa tidak boleh berdiam diri daripada mengenakan tindakan terhadap individu yang terlibat, sebaliknya mengambil tindakan yang bijak sebelum gejala songsang itu semakin berleluasa.

“Tindakan undang-undang perlu dikenakan ke atas mereka yang terlibat kerana dalam agama kita juga ada menyatakan untuk mencegah kemungkaran iaitu ‘Amal Makruf Nahi Mungkar’.

“Oleh itu, pihak yang mempunyai kuasa perlu bertindak dengan bijak dan perkara ini perlu diberikan perhatian mendalam. Ia tidak boleh dibiarkan semata-mata atas alasan hak asasi manusia,” Dr. Abdul Rahman. - UTUSAN ONLINE