Perkara ini diluahkan oleh Ketua Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Dr. Nor Saleha Mohd. Salleh yang melihat terdapat proses membiasakan atau menormalkan nilai tidak baik itu kepada masyarakat di negara ini.

“Kalau dahulu, isu ini dilihat tidak begitu ketara kerana golongan ini mengambil pendekatan menyembunyikan tingkah laku dan hidup dalam kelompok sendiri. Namun, kini golongan itu dilihat semakin berani 'mempromosikan' amalan songsang mereka secara terbuka.

“Kewujudan mereka disedari di mana-mana tempat termasuklah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Lebih membimbangkan golongan ini seolah-olah seperti diterima apabila terdapat usaha mempromosikan sifat dan tingkah laku kecelaruan jantina ini di dalam media,” katanya kepada S2.

Contoh paling jelas menurutnya, masyarakat sentiasa dimomokkan dengan watak seorang lelaki berpakaian wanita dengan gaya pertuturan, pergerakan badan dan lemah lembut seperti wanita dalam drama, rancangan televisyen, video klip atau animasi tempatan.

“Begitu juga dengan wanita berpenampilan dan bertingkah laku seperti lelaki. Wujud gelaran seperti mak nyah dan pengkid. Walaupun hanya sebuah watak, namun kita menerimanya sebagai satu bahan jenaka atau hiburan.

“Disebabkan masyarakat sering didedahkan dengan nilai negatif ini, lama-kelamaan dianggap sebagai satu perkara normal dan bukannya perkara asing yang dianggap salah dalam kehidupan masyarakat.

“Kesannya, keadaan berkembang sebagai satu trend dan gaya hidup yang menjadi ikutan ramai. Lebih buruk lagi apabila gaya hidup tersebut mempengaruhi seseorang individu untuk menjalani pembedahan menukar jantina dan menjalinkan hubungan sejenis sebagai memenuhi kehendak dan naluri songsang mereka,” katanya yang juga Pengarah Institut Kajian Hadith, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Justeru katanya, kerajaan perlu tegas dan melakukan sekatan terhadap sebarang aktiviti dan unsur-unsur kecelaruan jantina sebagaimana dilakukan oleh Indonesia dan Turki.

“Turki telah mengharamkan segala aktiviti LGBT di ibu negaranya termasuk dalam bentuk tayangan filem, persembahan teater, seminar, kolokium dan seumpamanya berkuatkuasa 18 November lalu. Perarakan tahunan golongan gay dan apa juga yang bertentangan dengan nilai negara itu turut dilarang.

“Di Indonesia, negara itu turut mengharamkan unsur LGBT disiarkan di kaca televisyen termasuk slot program dan iklan yang memaparkan tingkah lalu LGBT. Mereka juga menghapuskan emoticon dan imej berbaur LGBT menerusi aplikasi WhatsApp termasuk menyekat akses kepada laman popular Tumblr yang mempromosikan pornografi,” katanya.