SURIANI AHMAD
SURIANI AHMAD

Beliau menjelaskan, portal berita berbahasa Inggeris itu kurang memahami konteks yang mana kenyataan tersebut dibangkitkan pada sesi Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) Ke-69 di Geneva, Switzerland kelmarin.

“Mereka harus faham bahawa golongan LGBT sama seperti rakyat Malaysia yang lain, tidak kira lelaki dan perempuan, semua akan dilayan sama rata.

“Pihak berkuasa akan ambil tindakan yang sewajarnya sama seperti orang lain sekiranya golongan ini berasa mereka terancam atau memerlukan perlindungan,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Portal berita terbabit mela­porkan bahawa wakil kerajaan telah memaklumkan kepada CEDAW bahawa golongan LGBT di Malaysia dilayan ‘sama rata’.

CEDAW seperti dilaporkan oleh portal tersebut telah bertanya kepada wakil Malaysia berhubung bagaimana undang-undang negara ini boleh melin­dungi golongan LGBT apabila ia dikategorikan sebagai jenayah serta sumber-sumber yang dibe­lanjakan bagi pendekatan-pendekatan anti-LGBT.

Dalam pada itu, Suriani berkata, sesi dialog CEDAW tersebut boleh disaksikan di laman web Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, kementerian dalam satu kenyataan berhubung konvensyen tersebut memaklumkan, Malaysia telah memberi jaminan kepada CEDAW berhubung komitmennya dalam mengukuhkan jentera ke arah kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita termasuk melalui penglibatan dengan pihak-pihak berkepentingan.

Komitmen itu jelas kementerian, adalah selaras dengan agenda kebangsaan berkaitan wanita yang dicerminkan melalui Dasar Wanita Negara dan Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18).

“Pada konvensyen tersebut, Malaysia telah berjaya membentangkan laporan berkala ketiga hingga kelima yang memberi maklumat mengenai dasar, inisiatif dan langkah-langkah kukuh yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dan menyediakan ruang serta peluang untuk mereka berkembang dengan baik,” katanya. - UTUSAN ONLINE