Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan levi kenderaan komersial di Linkedua kepada RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia daripada kadar di antara RM100 hingga RM200 pada ketika ini. 

Selain itu, caj tol di luar waktu puncak bagi Linkedua iaitu antara pukul 10 pagi hingga 3 petang dan pukul 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan.

"Kadar baharu selepas pengurangan ini adalah seperti berikut: kenderaan persendirian daripada RM7.50 kepada RM4.00, teksi daripada RM5.70 kepada RM3.00, Bas daripada RM9.10 kepada RM4.50 manakala kenderaan komersial bagi kedua-dua kelas 2 dan 3 dikurangkan daripada RM17.10 dan RM34.30 kepada RM4.50 dan RM6.10, sama seperti kadar di Tambak Johor.

"Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kenderaan komersial di Tambak Johor sebanyak 40 peratus," kata kenyataan itu di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE