Ketua Pegawai Eksekutif MRM, R. Ramani Ramalingam berkata, ini kerana, fungsi utama MRM adalah bagi mengeluarkan lesen kolektif dan mengutip royalti sekiranya muzik berhak cipta yang diwakilinya diputarkan atau dimainkan secara langsung untuk persembahan kepada awam.

“Semua royalti yang dikutip oleh MRM disalurkan tanpa keuntungan kepada tiga ahlinya iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) untuk pengagihan seterusnya kepada semua komposer; penulis lirik; penerbit muzik serta syarikat; artis dan pemuzik rakaman yang layak berdasarkan laporan penggunaan muzik.

“Royalti MRM merupakan sumber utama penyaraan hidup untuk kebanyakan penggiat seni muzik tempatan yang berjuang menghasilkan karya-karya seni muzik sehingga menyumbang kepada budaya dan ekonomi negara selain menyediakan hiburan untuk orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan semua majlis keraian atau perkahwinan yang mahu memainkan muzik sama ada secara rakaman mahupun langsung akan dikenakan lesen muzik sebanyak RM600 daripada MRM kerana memainkan muzik tanpa lesen adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta Hakcipta 1987.

Ramani berkata, yuran MRM untuk penggunaan muzik di majlis perkahwinan sebegitu hanyalah RM600 bagi satu acara dan tidak perlu dibayar sekiranya hotel atau lokasi komersial berkaitan telah mengambil lesen tahunan MRM secara keseluruhan untuk acara di premis mereka.

“Ini termasuklah majlis-majlis makan malam tahunan, anugerah, pelancaran produk dan juga perkahwinan yang diadakan di lokasi-lokasi komersial seperti hotel serta pusat konvensyen sahaja.

“Lesen MRM juga tidak diperlukan sama sekali untuk majlis perkahwinan di rumah atau di kampung,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE