Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, langkah ini hanya terlalu menekan sebahagian besar pengguna dalam kalangan kelas berpendapatan rendah berikutan jumlah bayaran untuk lesen berkenaan tidak munasabah.

Jelasnya, pengenaan lesen ini akan menyebabkan ba­nyak majlis keraian dan perkahwinan menjadi sepi daripada muzik suatu hari nanti.

“Jangan komersialkan semua benda di negara ini. Apa akan jadi di Malaysia yang berbilang kaum ini dengan pelbagai jenis pe­rayaan, keraian dan muzik? Rakyat kini sudah pun ditekan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Saya mencadangkan MRM menghantar satu kertas putih untuk dibincangkan mengenai perkara ini terlebih dahulu dan nyatakan kebimbangan mereka. Jangan memikirkan keuntu­ngan semata-mata dan menekan pengguna,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan MRM bahawa semua majlis keraian atau perkahwinan yang mahu memainkan alatan muzik sama ada secara rakaman mahupun langsung akan dikenakan lesen muzik sebanyak RM600 daripada mereka.

MRM memberitahu, memainkan muzik tanpa lesen adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta Hakcipta 1987.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, MRM mempunyai hak untuk membuat kutipan bayaran lesen berkenaan, tetapi bukan dengan kadar RM600.

Katanya juga, dasar dan peraturan berkenaan juga mengelirukan rakyat yang telah lama mempunyai kebebasan untuk memainkan muzik secara rakaman atau secara langsung di majlis-majlis keraian dan perkahwinan.

“Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu mengkaji semula pelaksanaan sistem berkenaan yang disifatkan terlalu ketat dan menindas golongan bawahan,” katanya.