Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, nilai jualan menerusi transaksi bank adalah sebanyak RM230 juta manakala nilai jualan dagangan pula adalah sebanyak RM41 juta melalui kedatangan 500,000 pengunjung.

“Jumlah itu sekali gus melepasi sasaran awal HPPNK 2017 iaitu sebanyak RM30 juta secara keseluruhan sekali gus mencatatkan pencapaian 900 peratus.

“Kejayaan ini sekaligus menunjukkan manifestasi rakyat yang terus menerus menyokong golongan peladang, penternak dan nelayan yang terlibat dalam sektor pertanian,” katanya ketika berucap dalam majlis penutupan HPPNK 2017 dekat Serdang, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, pengunjung turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis-artis popular seperti Elizabeth Tan, Datuk Hattan, Aiman Tino, Yabang Khalifah dan Mat Dan.

Selain itu, sebanyak 1,500 pengunjung yang terdiri daripada lepasan institut pengajian tinggi (IPT) berjaya ditawarkan pekerjaan dalam bidang agro menerusi Pameran Temuduga Terbuka Agro 2017 yang diadakan di tapak itu.

Katanya lagi, HPPNK tidak akan diadakan pada tahun hadapan berikutan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang dijadualkan pada November 2018.

Sementara itu, beliau berkata, penyertaan golongan muda juga mencecah 40 peratus walaupun sebelum ini sasaran pihaknya adalah 30 peratus.

“Ini memberikan anjakan paradigma bahawa dunia pertanian yang dahulunya hanya dikuasasi oleh orang kampung dan orang tua namun kini dikuasai golongan muda.

HPPNK yang bertemakan “Our Food Our Future” atau “Makanan kita Masa Depan Kita” merupakan satu platform untuk menghargai dan meraikan mereka yang terlibat dalam penyediaan makanan bagi rakyat di negara ini di semua peringkat.

Penganjuran ini juga melibatkan kawasan seluas 80,000 meter persegi itu berjaya menghimpunkan kira-kira 600 gerai pameran dan jualan.

HPPNK 2017 juga menampilkan satu program baharu iaitu Malaysia Food Festival (MFF) 2017 satu ekspo yang menawarkan pengalaman mengenai makanan, masakan teknologi makanan dan seni hidangan.