Bagi memastikan agihan da­ging berkenaan lebih menyeluruh, penganjur mengadakan program tersebut di dua lokasi, iaitu di Masjid Jamek Sungai Besar yang dikendalikan oleh Pergerakan Pemuda UMNO bahagian, manakala Wanita dan Puteri UMNO menye­laraskan program tersebut di Masjid Jamek Pekan Ayer Baloi, dekat sini.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja penyembelihan, melapah dan membungkus daging dilakukan secara bergotong-royong melibatkan kira-kira 500 petugas selepas solat Jumaat semalam.

“Program ini juga dapat me­ngeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk dan kepemimpinan setempat serta membantu golongan fakir miskin untuk mendapat agihan daging korban,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Pekan Ayer Baloi, Salehon Sengot; Ketua Wanita UMNO bahagian, Hasrnuizah Hassan; Ketua Pu­teri UMNO bahagian, Noorazwana Othman dan Ketua Whips Majlis Daerah Pontian, Norzita A. Kahar.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini lebih bermakna kerana negara masih meraikan Hari Kebangsaan Ke-60 tahun.

“Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha ini berkait rapat supaya setiap rakyat sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Menurutnya, penglibatan golo­ngan muda dalam program tahunan itu juga memberikan mereka peluang untuk bersama-sama menghayati erti pengorbanan sebenar, selain menginsafi supaya sentiasa berusaha membantu golongan yang memerlukan di negara ini.