Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kawasan tersebut yang mengandungi pelbagai tarikan seperti gua tempurung, kawasan ‘water rafting’ dan Kampung Karyawan Malim mempunyai potensi yang cukup besar untuk diketengahkan.

Menurutnya, kawasan itu juga kaya dengan sumber alam semula jadi serta hidupan liar untuk dilihat oleh pengunjung dalam dan luar negara.

“Kita lihat potensi untuk pelancongan berasaskan agro sebab dekat sini macam-macam ada.

“Water rafting yang kita telah cuba hari contohnya, mempunyai kesukaran tahap ketiga di negara ini dan cukup mencabar begitu juga Gua Tempurung. Jadi potensi di sini cukup besar.

“Kemungkinan kita juga boleh jadikan kawasan ini taman terbuka atau taman bagi melihat burung serta alam semula jadi yang terdapat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Icon Kesenian Negeri Perak dan melawat sekitar Kampung Karyawan Malim sempena Pemukiman Menteri Besar di Daerah Kampar dan Batang Padang di sini hari ini.

Sebelum itu, Zambry menyertai aktiviti water rafting di Sungai Jahang Ulu Geruntum di sini. - UTUSAN ONLINE