Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, lembaga itu boleh menjadi satu badan yang mampu memberi cadangan nilai tambah untuk meningkat dan mempelbagaikan industri berkaitan produk berasaskan kelapa.

Katanya, penggabungan itu akan menjadi sektor yang berpotensi besar dan mempunyai hala tuju bagi mengutarakan dasar lembaga terbabit.

“Kerajaan nak bangunkan tanaman kelapa dan penanaman nanas supaya ia menjadi sektor berpotensi besar yang berinput menjana ekonomi negara.

‘‘Jadi takdalah industri kelapa hanya tertumpu kepada produk berasaskan minyak dan santan semata-mata sedangkan ia boleh dipelbagaikan,” katanya dalam Maj­­­lis Perayaan Hari Deepavali peringkat Pasir Salak di Langkap dekat sini malam tadi.

Tajuddin berkata demikian bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 berkaitan pengurusan industri kelapa akan digabungkan di bawah satu lembaga bersama-sama industri nanas dan buah-buahan.

Selain itu Najib yang juga selaku Menteri Kewangan berkata, gabungan itu antara lain akan memberi faedah kepada pengusaha dan 10,000 pekebun kecil.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, setakat ini negara terpaksa mengimport kira-kira 1.5 juta biji kelapa bagi menampung permintaan dalam negara. – BERNAMA