Dengan alasan tidak mahu membawa pulang barangan jualan tersebut, mereka menawan hati pengunjung dengan pelbagai cara sehingga mewujudkan suasana bagaikan fiesta lelong.

Tinjaun Utusan Online mendapati, peniaga di sini masing-masing menawarkan diskaun sehingga 60 peratus kepada pelanggan hingga masing-masing berebut untuk mendapatkan barangan yang ingin dimiliki.

Menurut Johari Salleh, 35, dia menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kepada pengunjung bagi mendapatkan kain samping daripada syarikatnya.

“Kita tawarkan harga cukup murah dan cukup menarik. Saya harap pengunjung yang datang tidak melepaskan peluang keemasan ini,” ujar peniaga berasal daripada Kelantan itu kepada Utusan Online di sini hari ini.

Bagi peniaga makanan, Nor Zehan Mohd [email protected] Saidin, 37, dia akan membuat promosi secara besar-besaran bagi memastikan produk makanan yang dijualnya habis sehingga petang ini.

“Saya jual murah sahaja, tidak mahu bawa balik. Kalau tidak habis hari ini takut membazir pula,” ujarnya.

Manakala bagi penjual kain, Siti Aishah Abdullah, 43, dia menjual sepasang kain sehingga lima pasang RM50 bagi memastikan seluruh barangan yang dijualnya laku sehingga berakhirnya perhimpunan itu.

Menurutnya, dengan tagline “Kami tidak tipu, kami memang jual harga durian runtuh” dan “Kalau pakai terus berseri” sedikit sebanyak menarik perhatian pelanggan yang lalu ke kedainya.

“Kami sudah menjual lebih daripada 1,000 pasang sehingga semalam. Kalau di luar harga lebih mahal tetapi untuk semua pengunjung kami jual murah,” katanya. - UTUSAN ONLINE