Eddy Noramin Ramli, 41, didakwa dengan niat mence­derakan anak lelaki dan perempuannya yang masing-masing berusia 10 dan sembilan tahun menggunakan air panas menyebabkan badan mangsa melecur.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini, antara pukul 1 hingga 2 pagi, 28 Disember lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yasinnisa Begam Seeni Mohideen mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Bagaimanapun, hukuman ke atas tertuduh hanya akan ditetapkan 12 Februari ini berikutan mahkamah masih me­nunggu laporan perubatan ke­dua-dua mangsa.

Sehubungan itu, peguam bela tertuduh, Edmund Anthony Hermon memohon anak guamnya dibebaskan dengan jaminan yang rendah memandangkan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarganya dengan pendapatan RM500 sebulan, isterinya tidak bekerja dan mempunyai empat anaknya yang berusia lima hingga 10 tahun.

Majistret Rosnee Mohd. Radzuan menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh dila­rang mendekati mangsa.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun melecur di beberapa bahagian badan dipercayai disimbah air panas oleh bapa kandungnya selepas berang kerana makanan yang disediakan isterinya habis dimakan empat anaknya termasuk mang­sa selepas pulang dari bekerja.

Selepas lebih seminggu melarikan diri, bapa mangsa akhirnya ditahan polis Sabtu lalu di Paya Terubong di sini bersama isteri dan anak bongsu mereka.

Bagaimanapun, isterinya yang berusia 38 tahun tidak didakwa dan dibebaskan dengan jaminan polis. Kedua-dua mangsa kini berada dalam ja­gaan nenek mereka.