Malah antara sebab mengapa jejaka luar ini lebih diberi perhatian kerana ada yang menggambarkan lelaki-lelaki dari luar negara lebih memahami perasaan wanita dan romantik.

Bagaimanapun, apa yang berlaku kini tidak seperti yang digambarkan apabila lebih ramai lelaki kita sebenarnya menjadi pilihan wanita di luar Malaysia.

Mengambil negara terdekat Indonesia, bukan sesuatu yang baharu rasanya untuk kita tahu yang beberapa selebriti wanita popular negara itu kini bahagia di samping suami mereka yang berasal dari Malaysia.

Tentunya ikatan perkahwinan yang berlangsung antara dua insan adalah kerana jodoh yang sudah ditentukan.

Namun, dalam masa yang sama menjadi bukti untuk membidas kembali kenyataan yang lelaki Malaysia kononnya bukan pilihan untuk dijadikan suami.

Utusan Online menyenaraikan lelaki-lelaki Malaysia yang kini bergelar suami kepada empat selebriti popular Indonesia.

Bunga Citra Lestari pilih Ashraf Sinclair
 

Bunga Citra Lestari pilih Ashraf Sinclair

Tarikh 8 November depan menandakan usia perkahwinan pasangan ini masuk sembilan tahun.

Cinta pandang pertama Ashraf dan Bunga berlaku apabila Ashraf menemuramah isterinya buat kali pertama untuk sebuah rancangan hiburan dua tahun sebelum mereka bernikah.

Hampir tidak pernah mendengar kisah tidak enak mengenai perkahwinan mereka, membuktikan cinta yang wujud antara pasangan ini kekal utuh.

Dengan kehadiran Noah Sinclair yang kini berusia tujuh tahun tentu sekali peminat mereka yang mendoakan agar pasangan ini segera dikurniakan anak kedua pula.

Tya Arifin dan Asyraf Khalid
 

Tya Arifin dan Asyraf Khalid

Kehadiran November kali ini juga akan memberi makna berbeza buat pelakon Tya Arifin, 23 apabila bakal menyambut ulang tahun perkahwinan dengan suami Asyraf Khalid,25, buat kali kedua.

Apa yang lebih penting juga, sambutan ulang tahun perkahwinan kali ini lebih bermakna dengan kehadiran anak mereka Arif Jiwa yang dilahirkan Mac lalu.

Tya yang cukup dikenali sebagai pelakon di Indonesia membuat keputusan untuk menetap di Malaysia selepas berkahwin dengan Asyraf yang juga anak tiri kepada penyanyi terkenal Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Bagaimanapun sehingga kini kerjaya seni anak seni Indonesia ini masih diteruskan seperti biasa apabila Tya masih berulang alik ke Indonesia selain pernah membintangi beberapa drama tempatan.

Prisia Nasution dan Iedil Putra
 

Prisia Nasution dan Iedil Putra

Berkenalan ketika menjayakan filem Interchange, ternyata pada awalnya pelakon Indonesia, Prisia Nasution tidak mengenali siapa suaminya Iedil Putra.

Bagaimanapun, kerjasama dalam filem itu membuahkan cinta antara mereka apabila keduanya mula mengetahui yang mereka berdua mempunyai minat yang hampir sama.

Sudah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga pasangan ini nampaknya lebih senang meneruskan kerjaya di negara masing-masing.

Tentunya dalam hal ini Iedil perlu lebih banyak berkorban apabila sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta untuk bertemu isterinya itu.

Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran
 

Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran

Memiliki pengikut seramai 19.3 Juta di Instsgram, nama pelakon Laudya Cynthia Bella atau lebih dikenali sebagai Bella, bukan calang-calang dalam industri perfileman di Indonesia.

Sudahpun bergelar isteri sejak 8 September lalu, Laudya kini milik lelaki Malaysia bernama Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Apa yang istimewanya mengenai hubungan mereka ini apabila Bella mengakui hanya mengenali suaminya itu selama lima bulan sebelum bersetuju untuk berkahwin.

Sama seperti Tya, Bella kini turut menetap di Kuala Lumpur untuk menguruskan keluarga barunya.

Menjalani kehidupan biasa sebagai seorang isteri di Malaysia ada kalanya Bella turut berkongsi rutin harinya di laman Instagram.

Tetapi saat ini tiada yang lebih indah untuk menyaksikan bagaimana Bella turut menjalani kehidupan seorang ibu buat anak tirinya Engku Aleesya. - UTUSAN ONLINE