Dia kemudiannya bertemu jodoh dengan Ruzana Zainudin, 34, dan pasangan itu dikurniakan cahaya mata tunggal, Putri Quratul Ain yang kini berusia tujuh tahun. Kedua-duanya juga merupakan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami kecacatan pada kaki dan tidak mampu berjalan.

Mohd. Nor Eizan tetap cekal dan tidak pernah menyesali kekurangan mereka bertiga. Malah, dia tidak mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk meneruskan kehidupan, sebaliknya gigih melakukan pelbagai pekerjaan di sekitar rumah mereka di Kampung Cherang, di sini.

“Selain kerja-kerja kampung, saya ambil upah jadi tukang besi dengan pendapatan RM25 hingga RM35 sehari mengikut permintaan pelanggan.

“Saya juga sedang mengumpul pakaian terpakai untuk dijual bagi menambah pendapatan dan merancang untuk membuka kedai ‘bundle’ satu hari nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya, di sini semalam.

Lelaki kudung impi buka 'bundle' tak harap belas ihsan

MOHD. NOR EOZAN MAMAT LAKSAMANA, 33,bersama isteri Ruzana Zainudin,34, melipat pakaian terpakai yang dikumpul di rumah mereka ketika ditemui pemberita di Kota Bharu semalam. - UTUSAN ONLINE/Nuraikha Sharipul Bahari

Bercerita lanjut, Mohd. Nor Eizan berkata, isterinya sebelum ini masih boleh berjalan dengan menggunakan tongkat, namun keupayaan itu merosot selepas melahirkan anak.

“Dia sepatutnya perlu menjalani fisioterapi dua kali seminggu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) manakala anak kami yang mengalami masalah ketika proses kelahiran dan cacat fizikal sejak lahir juga perlukan pemantauan dan rawatan susulan.

“Sekarang sudah lebih setahun mereka tidak mendapat rawatan kerana keadaan fizikal isteri yang tidak boleh bergerak menyukarkan saya membawanya ke hospital. Saya hanya mempunyai sebuah motosikal untuk ke mana-mana,” katanya.

Menurut Mohd. Nor Eizan, dia dan isteri merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan setiap seorang.

“Bantuan itu memang meringankan beban kami sekeluarga tapi saya tetap perlu berusaha mencari pendapatan kerana perlu menampung perbelanjaan dapur serta membayar sewa rumah setiap bulan, “ ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1120041000051762 di atas nama Mohd. Nor Eizan Mamat Laksamana. - UTUSAN ONLINE