Bagi Yip Yew Fai, tiada ha­diah yang lebih istimewa selain daripada nekad mengambil keputusan untuk mengubah pegangan dengan memeluk Islam selepas melafazkan kalimah syahadah di Surau Sutera Prima dekat Seberang Jaya di sini.

Dia yang kini dikenali sebagai Ibrahim Yip berkata, majlis pengislamannya juga diadakan pada hari kedua sambutan Aidiladha bagi mengambil semangat pengorbanan yang tersirat pada sambutan itu.

“Saya telah lama belajar tentang Islam daripada rakan-rakan, namun belum berkesempatan untuk mengucap dua kalimah syahadah.

“Tapi hari ini, saya membuat keputusan untuk memeluk Islam di surau ini sebagai hadiah ulang tahun kelahiran saya sambil disaksikan jemaah yang mengadakan majlis korban di sini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, biarpun masih belum memaklumkan kepada ahli keluarganya, namun dia yakin tiada halangan daripada mereka kerana ibunya sendiri memberi kebebasan kepadanya.

Jelas Ibrahim, biar pun belum ada dalam kalangan ahli keluarganya yang memeluk Islam tetapi ibunya yang kini menetap di Australia sentiasa bersikap terbuka.

Ditanya harapannya selepas ini, ujarnya, dia mengharapkan sokongan daripada rakan-rakan untuk mendalami Islam serta akan mula belajar banyak perkara berkaitan agama itu termasuk mendirikan solat dan mengaji.

Sementara itu Pengerusi Surau Sutera Prima, Khairul Anuar Ishak berkata, pihaknya amat teruja dengan majlis itu dan akan membantu memberi bimbingan kepada Ibrahim untuk terus mendalami Islam.

“Pada hari ini kami di surau ini adakan majlis korban empat ekor lembu dan serentak dengan itu diadakan majlis pengislaman saudara baharu kita.

“Ini adalah salah satu sumbangan kepada masyarakat sekitar dan berharap lebih ramai saudara baharu dapat ha­dir ke surau ini sekiranya memerlukan bantuan,” ujarnya.