Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, dari tahun 2013 hingga Mei 2018, sebanyak 2,238 atau mewakili 55.2 peratus pesalah rasuah terdiri daripada golongan berkenaan.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana golongan belia merupakan pemimpin negara pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, saya diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa statistik itu menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis penutup Walk Stop Talk: Six Hours Quater Millions Messages di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan Datuk Bandar, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Dalam pada itu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut memandang serius jenayah rasuah dalam kalangan wanita.

Katanya, berdasarkan statistik SPRM, dari tahun 2012 hingga Januari 2018, sebanyak 700 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kelompok wanita.

“Bagi tempoh yang sama, seramai 453 wanita telah ditangkap bagi membantu siasatan kes ra­suah. Seramai 183 daripada mereka telah dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan,” jelas beliau.