ISMAIL SABRI YAAKOB

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa ini sebanyak 370 buah rumah baharu siap dibina manakala 3,724 rumah telah siap dibaik pulih.

“Selebihnya termasuk sebanyak 1,290 buah rumah baharu sedang dalam proses pelaksanaan awal manakala 7,400 buah rumah sedang dalam proses baik pulih.

“Jadi dengan kerja-kerja yang giat dilakukan kita yakin dapat menyiapkan 100 peratus pembinaan rumah baharu PPRT dan juga membaik pulih rumah luar bandar menjelang penghujung tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran gotong royong baik pulih rumah oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan GiatMara di Kampung Paya Tateh di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pelaksa­naan program pembinaan dan baik pulih rumah masyarakat luar bandar itu dilaksanakan KKLW di bawah program kesejahteraan rakyat.

Katanya, melalui program itu masyarakat luar bandar akan mendapat kehidupan yang lebih selesa seterusnya menjalankan pelbagai aktiviti lain bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau memberitahu sebanyak RM56,000 diperuntukkan bagi membina rumah baharu di Semenanjung dan RM68,000 di Sabah dan Sarawak manakala RM13,000 untuk baik pulih rumah di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata, konsep gotong royong dalam membaik pulih rumah yang mula dilaksanakan pada tahun ini memberi kesan positif apabila memastikan baik pulih rumah dilaksanakan dengan baik.

Katanya, melalui konsep itu peruntukan akan diserahkan kepada Pengerusi JKKK yang akan mengendalikan gotong royong bagi membaik pulih rumah.

“Sebelum ini kita memberikan kepada kontraktor tetapi ada yang tidak puas hati dengan kualiti binaan dan kita mengambil keputusan mengadakan konsep gotong royong,” ujarnya.