Menurut Perdana Menteri, mereka juga diharap membantu untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja terutama graduan dalam bidang itu.

Tambah beliau, sistem pendidikan TVET akan terus berperanan sebagai ‘game changer’ dalam menghasilkan modal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta menjadi enjin pembangunan negara.

“Kementerian Pendidikan sebagai penyedia pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional mestilah terus komited dalam memperkasa kerjasama antara industri dan mempergiat kerjasama merentas institusi TVET,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-48 di Spice Arena, Bayan Baru di sini hari ini.

Sambutan bertemakan Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Menurut Dr. Mahathir, negara ketika ini sedang menuju Industri Revolusi 4.0 atau IR 4.0 sekali gus menuntut para guru menanamkan minat dan kesedaran untuk mempelajari serta menguasai mata pelajaran berasaskan Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Teknologi.

Sehubungan itu, ujarnya, pendidik perlu terus sensitif terhadap perubahan arus dunia pendidikan yang kini bergerak dengan pantas.

“Pendidikan TVET bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara, malah penting untuk

Malaysia menghadapi IR 4.0.

“Dalam konteks ini, kemampuan graduan dan tenaga pengajar TVET di institusi latihan perindustrian dilihat mampu menghasilkan ciptaan yang belum pernah dihasilkan sebelum ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE