Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, usaha itu penting bagi memastikan golongan berkenaan boleh berdikari dan mendapat peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan kebolehan mereka.

Jelasnya, buat masa ini jumlah pengambilan pelajar OKU tidak terlalu besar dan hanya melibatkan mereka yang mengalami masalah pembelajaran.

“Pada masa akan datang kita akan perluaskan lagi untuk pastikan mereka ada akses kepada kursus kemahiran kerana OKU juga boleh turut sama menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Melaka 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz.

Seramai 1,323 graduan dari 10 buah Kolej Komuniti iaitu empat di Negeri Sembilan dan enam di Melaka menerima sijil masing-masing dengan 15 orang daripadanya adalah pelajar OKU.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, lepasan Kolej Komuniti mencatat kebolehpasaran yang tinggi dalam bidang pekerjaan dan berharap lebih ramai yang mengikuti latihan kemahiran di kolej berkenaan. 

“Pada tahun 2017, kebolehpasaran bagi lepasan Kolej Komuniti di Negeri Sembilan adalah sebanyak 97.38 peratus manakala di Melaka pula 98.34 peratus.

“Ini bermakna keseluruhan kebolehpasaran di kedua-dua negeri melebihi 97 peratus dan ini merupakan pencapaian yang cemerlang,” katanya. - UTUSAN ONLINE