MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD

Mufti Kelantan, Datuk Moha­mad Shukri Mohamad berkata, perbuatan bekas Perdana Menteri itu menyalahkan pihak lain termasuk golongan mufti yang didakwa tidak berperanan dengan baik sehingga berlaku peristiwa berdarah tersebut lebih menjuruskan ke arah kepentingan politik peribadi.

“Lebih baik Tun Mahathir mengingatkan ke arah kematian dan lebih banyak berdoa daripada menuding jari mencari silap siapa.

“Tuduhan tersebut juga lebih ke arah mempolitikkan keadaan dan langsung tidak melibatkan hukum-hakam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dr. Mahathir yang bakal mencecah usia 93 itu, baru-baru ini menegur mufti di negara ini kerana didakwanya gagal berperanan dengan baik termasuk ketika tragedi Memali berlaku.

Beliau mendakwa, sekitar berlakunya ‘Amanat Haji Hadi’ dan tragedi Memali, mufti pada ketika itu tidak menegur Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebaliknya ‘berdiam seribu bahasa’ menyebabkan tercetus­nya peristiwa hitam itu.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri berpendapat, RCI sepatutnya telah lama ditubuhkan dalam menyelesaikan peristiwa Memali selain berhenti daripada terus menuding jari sesama sendiri.

Menurutnya, secara peribadi, beliau berpandangan peristiwa Memali hanya merungkai kisah lama yang boleh mengguris keluarga mangsa terlibat.

“Perkara ini berlalu hampir 32 tahun lalu namun kini kita ‘perhangatkan’ semula. Sepatutnya RCI terhadap peristiwa berdarah itu ditubuhkan sejak dahulu lagi untuk menyiasat dan mencari kebenaran ke atas apa yang berlaku.

“Seharusnya kita ambil iktibar dan bukan menyalahkan pihak lain dengan menuding jari mencari silap,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, RCI perlu ditubuhkan segera kerana ia lebih kepada soal membela nasib ke­luarga mangsa Memali dan bukan isu politik.

“Bagi saya, kerajaan mempunyai pertimbangan RCI ditubuhkan dan ia penting kerana boleh memberi keadilan yang sewajar­nya,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, keadilan kepada mangsa Memali mesti dibela dan fitnah ke atas Ibrahim Libya (guru agama yang nama sebenarnya Ibrahim Mahmud) mesti dihentikan.

Ditanya mengenai serangan Dr. Mahathir terhadap Presiden Pas, beliau berpandangan, itu hanya sekadar untuk mengalih panda­ngan dan pergolakan dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP khususnya berkaitan pelantikan bakal Perdana Menteri.