Bekas Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Zainal Azman Abu Seman berkata, langkah itu perlu bagi memastikan golongan bumiputera dapat menceburi bidang yang mampu memberikan nilai tambah tinggi untuk kepentingan jangka panjang.

“Setiap kementerian perlu tegas memainkan dasar yang ditetapkan supaya agenda ekonomi bumiputera dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Kita tidak menafikan peranan dan dasar yang dimainkan setiap kementerian sememangnya wujud, tetapi perlu digerakkan dengan lebih mantap lagi demi kemajuan ekonomi bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan tajuk Budaya Kecemerlangan Ekonomi: Perbandingan dalam Bengkel Budaya Ekonomi 2017 sempena Wacana Prakongres Budaya 2017 di Hotel Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Sementara itu pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kitaran turun dan naik ekonomi sesebuah negara adalah sesuatu yang normal dan Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka tidak boleh lari daripada me­ngalami fenomena tersebut.

Jelasnya, pusingan ekonomi dunia berlaku setiap 10 tahun dengan tempoh lima tahun pertama menyaksikan proses penurunan manakala baki lima tahun lagi lazimnya menunjukkan kenaikan.

“Di Malaysia sendiri telah berlaku lima kali pusingan dan kegawatan ekonomi adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan, tetapi buat masa ini ekonomi negara secara perlahan menunjukkan perubahan dan kini berada pada tahap memberangsangkan,” ujarnya.