Karnival yang dianjurkan Maj­lis Belia Felda Malaysia (MBFM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan itu akan memulakan sesi jelajahnya ke 11 wilayah bermula di wilayah Kota Tinggi hingga ke wilayah Perlis.

Presiden MBFM, Muhammad Fadzli Hasan berkata, Karnival Ja­guh Felda 2018 itu bertujuan memberi penjelasan berkaitan isu-isu semasa yang berbangkit di sam­ping penjelasan mengenai inisiatif Felda 2.0 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Februari lalu.

“Dengan adanya karnival jelajah ini, ia dapat memberi penjelasan yang tepat kepada anak muda Felda berkaitan apa yang berlaku di dalam Felda terutama kepada anak-anak muda.

“Saya yakin, dengan adanya prog­ram sebegini, sebarang kekeliruan mereka berkenaan Felda dapat dileraikan kerana saya lihat hari ini ramai bercakap mengenai Felda tetapi mereka semua tidak faham apa sebenarnya yang berlaku dalam Felda ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jelajah Nyala Rasa Generasi Anak Muda (NGAM) Felda sempena Karnival Jaguh Felda 2018 di sini hari ini.

Kata Muhammad Fadzli, MBFM merupakan antara salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf Felda untuk menjadi orang tengah yang memberi maklumat tepat mengenai Felda kepada masyarakat.

“Kita mempunyai 317 cawa­ngan MBFM di 11 wilayah yang kita akan jelajah dan jika mana-mana warga Felda ada cadangan atau isu yang hendak diusulkan kepada Felda, maka kita akan kemukakannya ke peringkat atasan bagi menyelesaikan sebarang isu yang timbul,” katanya.

Program jelajah yang bermula 11 April itu dijangka tamat peng­hujung bulan ini.