Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, saman-saman AES yang dikeluarkan sebelum 1 September 2018 itu telah diputihkan daripada sistem dan perkara berkenaan disahkan Pusat Data Bahagian Teknologi Digital Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Saya telah mendapat kepastian daripada pihak pengurusan pusat data ini, semua saman itu telah diputihkan daripada sistem, maksudnya, apa-apa saman AES sebelum 1 September sudah tiada lagi di dalam data,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Data Bahagian Teknologi Digital JPJ di sini hari ini.

Pada 17 Ogos lalu, Anthony mengumumkan penguatkuasaan AES dikendalikan sepenuhnya oleh JPJ bermula 1 September 2018 dan kesemua saman tertunggak AES sebelum tarikh berkenaan dibatalkan kerana hasilnya tidak diterima kerajaan ekoran perjanjian yang hanya memihak syarikat konsesi.

Dalam pada itu, Anthony memberitahu, bagi tempoh 1 September sehingga 8 November lalu, sebanyak 60,444 saman AES kesalahan melanggar had laju telah dikeluarkan dengan hanya 1,711 saman dijelaskan, manakala bagi kesalahan melanggar lampu isyarat pula, sebanyak 4,575 saman AES telah dikeluarkan, namun hanya 167 saman dibayar.

Ujar beliau lagi, setakat ini, sebanyak 1,190 kes saman AES telah dibawa ke mahkamah di Kedah, Perak dan Pulau Pinang sejak 1 September lalu, namun hanya tiga individu yang hadir ke mahkamah.

“Selepas 60 hari, jika tidak buat bayaran saman AES, maka proses mahkamah perlu dijalankan. Jika gagal hadir ke mahkamah, waran tangkap akan dikeluarkan.

“Tetapi kita tidak akan datang ke rumah untuk tangkap, sebaliknya mereka ini akan disenarai hitam sehinggalah saman itu dijelaskan,” katanya.

Sementara itu kata Anthony, pelaksanaan polisi data terbuka yang dilakukan kementeriannya dapat meningkatkan ke­telusan perkhidmatan penyampaian kerajaan, menggalakkan produktiviti ekonomi digital dan mengeratkan perkongsian data antara agensi-agensi sektor awam, swasta dan rakyat.

“Kementerian juga bersetuju untuk membenarkan beberapa set data JPJ yang sebelum ini memberi hasil kepada kerajaan untuk diklasifikasikan sebagai data terbuka demi menjayakan inisiatif ini,” katanya.