Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain pembinaan sekolah baharu, kos tersebut turut melibatkan projek pembinaan bangunan tambahan serta bilik darjah baharu bagi memenuhi keperluan pelajar yang semakin bertambah.

Beliau menjelaskan, projek pertama tahun ini adalah pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serada dekat sini yang akan siap dalam tempoh dua tahun bermula Januari lalu dengan kos RM28.3 juta.

“Untuk projek pertama (sekolah baharu) tahun ini adalah pembinaan SMK Serada di sini dan untuk tahun ini lebih 30 buah sekolah baharu akan dibina di seluruh negara melibatkan peruntukan RM1.4 bilion.

“Keseluruhan peruntukan ini bukan untuk sekolah baharu saja, tapi juga untuk membina bangunan baharu, tambah bilik darjah dan sebagainya,” katanya.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menyatakan demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis Pecah Tanah Bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serada dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Pelajaran) Kementerian Pendidikan, Datuk Khalid Abu Bakar; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Zainal Alam Hassan; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azmi Razik dan Pengarah Pendidikan

negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pembinaan SMK Serada itu dijangka mampu menampung kira-kira 800 pelajar selain memenuhi keperluan penduduk sekitar yang tidak lagi perlu bersusah-payah menghantar anak ke sekolah lebih jauh iaitu SMK Padang Midin, SMK Seri Nilam dan SMK Tun Telanai.

“Tiga sekolah berkenaan sudah penuh dan kena ada keperluan untuk bina sekolah baharu di sini dan kita jangka pengambilan pelajar dibuat pada tahun 2020,” katanya. – UTUSAN ONLINE

RADHUAN HUSSAIN