Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sepanjang tempoh tersebut pihaknya telah memeriksa seramai 114,559 warga asing yang berada di negara ini.

“Selain itu, 866 majikan yang masih berdegil menggaji atau melindungi PATI sepanjang tempoh tersebut diberi amaran berulang kali sehingga Program Serah Diri Sukarela atau 3+1 membabitkan PATI tamat pada 30 Ogos ini.

“Jika gagal berbuat demikian, majikan dan PATI akan ditangkap serta dikenakan tindakan lebih tegas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra Bersama Warga Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Depot Imigresen Lenggeng di Nilai dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad dan Pengarah Imigresen negeri, Mohammed Khalil Ali.

Sementara itu, Mustafar memberitahu, bagi Op Mega 3.0 pula, seramai 7,958 PATI ditangkap daripada 28,356 warga asing yang diperiksa dalam 2,463 operasi sehingga 20 Ogos lalu.

“Seramai 238 majikan yang berdegil dan masih menggajikan PATI juga ditangkap menerusi operasi itu,” katanya.

Pelaksanaan Op Mega 3.0 bermula 1 Julai lalu selepas berakhir tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) pada 30 Jun lalu.

Dalam pada itu, Mustafar men­dedahkan, terdapat segelintir ma­­jikan memohon pekerja asing dalam jumlah yang ramai, namun ketika pemantauan dilakukan didapati tiada keperluan industri untuk pekerja berkenaan.

Ujar beliau, sebaliknya majikan terbabit dipercayai menjual pekerja asing itu kepada syarikat lain dengan mengaut keuntungan antara RM1,500 hingga RM5,000 seorang.

“Kita percaya ada dalam kala­ngan pekerja asing yang dipohon oleh majikan-majikan ini telah ‘dijual’ ke tempat lain de­ngan mengenakan bayaran lebih tinggi. Ini merupakan pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan diambil bagi memerangi aktiviti ini,” katanya.