Timbalan Menteri Pelanco­ngan, Datuk Mas Ermieyatie Samsudin berkata, faktor berkenaan dibantu komitmen tinggi kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2018 yang turut memberi fokus kepada bidang berkenaan.

Beliau memberitahu, kerajaan yakin kehadiran pelancong pada 2018 akan melebihi jumlah 26.8 juta yang dicatatkan tahun lalu.

“Jumlah berkenaan menjadikan Malaysia sebagai negara ke-12 paling dilawati di dunia dan berdasarkan kekuatan yang ada, lebih ramai pelancong dijangka melawat negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri maj­lis perjumpaan dengan Pergerakan Puteri UMNO negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Timbalannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyatie yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO berkata, Malaysia kini menjadi pilihan pelancong berbanding negara-negara Islam lain di seluruh dunia kerana menawarkan perkhidmatan percutian yang memenuhi aspek berkenaan.

“Faktor ini kemudian digabung dengan warisan, produk-produk tempatan yang menarik dan kepelbagaian makanan akan menambah daya tarikan sedia ada,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, peruntukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) menafikan tohmahan Kerajaan DAP Pulau Pinang kononnya negeri ini dianaktirikan.

“Apa yang Ketua Menteri, Lim Guan Eng sering dakwa itu tidak benar, Bajet 2018 membawa kesejahte­raan kepada semua negeri,” katanya.