Menteri mentor program tersebut, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kursus yang menjadi pilihan adalah berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di institusi seperti GiatMara, Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Kolej Komuniti.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pihak penganjur menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 lepasan sekolah terutamanya di luar bandar, miskin dan tercicir diberi tawaran oleh 13 rakan strategik dan 18 universiti awam yang mengambil bahagian dalam jelajah tersebut.

"Pihak penganjur percaya jumlah calon yang mendapat tawaran dijangka melepasi sasaran minimum 50,000 menjelang akhir program ini pada Mei ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 peringkat negeri di sini sebentar tadi.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 yang dianjurkan oleh Gerakan Pendidikan Bumiputera Malaysia, Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) dan Koprojaya menyasarkan kumpulan belia lepasan sekolah terutamanya di luar bandar, miskin atau tercicir diberi peluang kedua untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Negeri Sembilan adalah negeri keempat program itu diadakan dengan Seremban adalah kawasan Parlimen ke-15 menjadi lokasi persinggahan jelajah berkenaan. - UTUSAN ONLINE