Berikutan promosi yang mendapat kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, harga buah berkenaan kekal berada di tahap yang baik iaitu antara RM20 hingga RM25 sekilogram mengikut gred.

Pada tahun lepas yang musim pengeluaran kemuncaknya juga jatuh semasa Ramadan, buah berkenaan dijual pada harga RM25 hingga RM30 sekilogram di luar negeri ini.

Menurut Pengarah Pertanian negeri, Zulkefli Amin Mat Jusoh, sebanyak empat buah lori dan sebuah van beserta pemandu dibekalkan kementerian itu bagi tujuan memasarkan mempelam harumanis ke luar negeri ini sejak awal Ramadan lalu.

Katanya, persiapan berhubung perkara itu telah dilakukan sejak awal lagi bagi mengelak berlakunya lambakan buah ketika musim kemuncak pengeluarannya pada masa ini.

“Kita melihat pengurangan pelancong datang ke Perlis pada Ramadan ini termasuklah ketika cuti umum perayaan Hari Wesak baru-baru ini. Sebab itu kita tidak ‘tunggu’ sebaliknya membawa keluar buah-buah kita.

“Namun syukur Alhamdulillah, sambutan yang kita terima menggalakkan dan mempelam harumanis yang dibawa habis dijual. Malah ramai yang masih tidak mengetahui dan belum merasai kehebatan harumanis ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambah Zulkefli Amin, harga promosi harumanis itu yang bertujuan untuk memperkenalkan lagi mempelam tersebut kepada seluruh rakyat negara ini akan diteruskan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi bagi membolehkan orang ramai menikmati rasa sebenar buah tersebut.

“Jika sebelum ini, ramai hanya tahu melalui media-media massa dan laman-laman sosial termasuk ‘cerita-cerita’ kurang enak, tetapi kali ini mereka berpeluang menikmati buah yang berkualiti ini dan sesuai dengan harganya.

“Pada ketika ini, kita menawarkan harumanis pada harga berkenaan (RM20 hingga RM25 sekilogram) yang harganya sama jika dibeli di peringkat ladang di Perlis. Kita akui ada yang menjual harumanis (di Perlis) di bawah harga RM20 tetapi kualitinya tidak terjamin,” ujarnya.

Zulkefli Amin berkata, antara negeri yang telah dikunjungi jabatan itu untuk dijual harumanis adalah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak manakala pada hari ini sehingga Ahad, di Johor.

“Kita akan membawa empat tan buah ini untuk dijual di jabatan-jabatan pertanian negeri dan daerah di Johor. Malah di sesetengah negeri, buah-buah ini sudah ditempah lebih awal sebelum kita sampai dengan bantuan kakitangan agensi ini (Jabatan Pertanian),” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini Jabatan Pertanian negeri ini itu telah mengeluarkan sebanyak 70 metrik tan harumanis daripada jumlah keseluruhan pengeluaran ladangnya yang dijangka 100 metrik tan.

Katanya, terdapat juga pengusaha persendirian yang membawa sendiri mempelam harumanis ke luar Perlis dengan dibantu Jabatan Pertanian negeri ini yang sebelum itu telah menghubungi kakitangan agensi berkenaan di negeri-negeri. - UTUSAN ONLINE