Menurut vokalis utama Kumpulan Wings ini, sebelum sudah sering kali dia dilaporkan ‘meninggal dunia’ oleh netizen termasuk yang terbaharu se­perti dilaporkan blog KedaiKopi.org yang mendakwa dia kemalangan di Bandar Sri Perdana, Lahad Datu, Sabah dan menghembuskan nafas terakhir.

“Kalau ikutkan lebih 10 kali saya ‘meninggal dunia’ dan saya juga tak terkira. Alhamdulillah, saya masih lagi bernafas sehingga hari ini dengan izin Allah.

“Saya tak tahu apa motif mereka berbuat begitu. Saya dapat rasakan mereka ini seperti disuruh untuk menjatuhkan saya dalam apa jua cara. Apa pun saya yakin Allah sentiasa melindungi.

“Saya masih bernyawa dan masih mampu tersenyum dengan fitnah yang susah nak diampunkan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Menyentuh mengenai berita palsu itu, kata Awie, kali terakhir dia dilaporkan ‘meninggal dunia’ ialah pada 11 April lalu juga akibat kemalangan jalan raya di Phuket, Thailand.

Awie yang baru mendirikan rumah tangga dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29, pada 7 Oktober lalu berkata, dia juga pernah membuat laporan polis berhubungan dakwaan yang sama.

“Bila kerap sangat berita kematian saya ini menjadi viral, saya pernah buat laporan polis, kalau tidak silap tahun lalu atau awal tahun ini. Malangnya tidak ada tindakan seterusnya kerana akaun yang diguna palsu.

“Kalau pihak bertanggungjawab pun tidak boleh nak sekat orang yang buat berita palsu ini, apa lagi saya. Bila setiap kali be­rita palsu tentang kematian saya menjadi viral, saya kasihan de­ngan saudara-mara dan telefon saya pun tidak akan berhenti berdering,” katanya dalam nada kesal.

Sekalipun sudah lali de­ngan tohmahan yang dibuat terhadap­nya, Awie bagaimanapun tidak akan mendiamkan diri, sebaliknya, akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan lanjut.

Laporan ‘kematian’ Awie menjadi viral sehinggakan akaun Facebook Johan Raja Lawak dikesan berkongsi berita palsu itu di laman sosial itu.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan Johan Raja Lawak tidak memiliki akuan Facebook dan perkara itu disahkan oleh isterinya, Ozlyn yang memberitahu suaminya hanya aktif di laman Twitter menggunakan identiti @joherajohera dan Instagram (@jozlynnhanania.

Sehubungan itu, Ozlyn menafikan laporan ‘kematian’ Awie itu dikongsi oleh Johan.

“Kami akan mengambil tindakan mengenai hal ini kerana menggunakan nama Johan untuk akaun palsu,” tegas Ozlyn ketika dihubungi.