Larian yang menawarkan hadiah bernilai hampir RM50,000 itu antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada komuniti berkaitan perbandaran dan pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur selaku tuan rumah penganjuran Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9).

Pelepasan larian itu yang meliputi jarak 15 kilometer (km), 10 km dan 5 km disempurnakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menyertai larian itu bagi kategori 10 km manakala Noh menamatkan larian dalam kategori 5 km.

WUF9 berlangsung mulai 7 hingga 13 Feb. WUF adalah forum teknikal bukan undang-undang yang diselenggarakan oleh Program Penyelesaian Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sejak 2002.

Ia diiktiraf sebagai arena global paling utama untuk interaksi antara penggubal dasar, pemimpin kerajaan tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan pakar pengamal dalam bidang pembangunan bandar dan pemukiman manusia yang mampan. - BERNAMA