Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, portal yang dibangunkan JAIPk dengan kerjasama K-Perak Implementation And Coordination Corporation (K-Perak) itu juga merekodkan 200 pendaftaran hanya pada hari pertama pelancarannya.

“Diharap individu yang mendaftar melalui portal ini benar-benar mahu berkahwin dan kita akan membantu mereka.

“Melalui sistem ini, kita ya­kin dapat membantu golongan ini yang sukar mencari jodoh sama ada disebabkan kesibukan kerja atau lanjut usia,” katanya selepas merasmikan majlis Nikah Jama’ie Syarie sempena jubli emas Masjid Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 13 pasangan diijabkabulkan dan setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM1,800 termasuk majlis kenduri untuk keluarga terdekat.

Mohd. Yusop berkata, pengisian portal itu disusun secara sistematik menepati kehendak perkahwinan dalam Islam iaitu perkenalan antara dua individu diurus dan dipantau hingga ke peringkat pertemuan dan pernikahan.

Katanya, portal itu juga bukan sekadar laman web biasa kerana jodoh yang dipilih akan dinilai sama ada menepati kehendak sebagai pasangan ataupun sebaliknya.

“Pertemuan diatur di pejabat agama daerah ditemani ahli keluarga masing-masing dengan mereka boleh bercerita tentang diri dan apabila ada kesesuai­an serta persetujuan, maka kita bantu hingga ke urusan pernikahan,” katanya.