banjir sabah 3

MANGSA banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara menggunakan lori agensi keselamatan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri berkata, di Kota Belud, enam pusat pemindahan telah dibuka iaitu di Dewan Masyarakat Tun Said dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Said, Dewan Muhibbah Kampung Tombol, Dewan Gopog Kampung Taginambur, Dewan SMK Taun Gusi 1 dan Dewan SMK Taun Gusi 2.

“Jumlah keseluruhan mangsa adalah lebih 1,000 orang daripada 151 keluarga dari 17 buah kampung di daerah ini yang dipindahkan bermula semalam.

“Pemantauan situasi banjir diteruskan dan dari masa ke semasa oleh pasukan bertugas yang sentiasa bersedia untuk membuat pemindahan mangsa sekiranya diperlukan,” kata jabatan itu.

banjir sabah

SEBAHAGIAN Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir Dewan Tun Said, Kota Belud.

Sementara itu, menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di Penampang, seramai 30 mangsa daripada lapan buah keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Lembaga Sukan Penampang berikutan tanah runtuh di Kampung Kolam Damai Minintod.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi tadi dan proses pemindahan mangsa dilakukan segera oleh anggota APM dengan bantuan beberapa agensi lain seperti bomba dan sukarelawan,” kata APM dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kundasang, Leftenan Hasdiee Abdullah mengesahkan berlaku dua kejadian tanah runtuh di Kampung Desa Aman dan Kampung Kalangaan Bundu Tuhan, Ranau yang mengakibatkan jalan raya di kawasan itu tertimbus.

Jelasnya, dua pasukan APM Kundasang dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu melancarkan laluan air parit serta kerja pembersihan runtuhan itu.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan  mengeluarkan amaran hujan lebat beserta angin kencang peringkat kuning bagi bahagian pedalaman, pantai barat dan Kudat di negeri ini serta Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka berlanjutan seningga minggu depan.

“Amaran angin kencang barat daya dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sabah (Kudat) sehingga Sabtu ini.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” kata jabatan itu dalam kenyataan dilaman webnya hari ini.