Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, Korea Selatan bukan sahaja merupakan rakan dagang penting kepada Malaysia, tetapi juga sebagai negara utama bagi aspek pelaburan langsung asing (FDI) dan kemasukan pelancong.

"Kyung-wha dijadualkan menjalankan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah di sini.

Mereka dijangka membincangkan tentang pelbagai isu berkepentingan bersama termasuk lawatan negara oleh Presiden republik itu, Moon Jae-in ke Malaysia tahun depan dan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 2020," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, Kyung-wha juga dijadualkan untuk membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Kunjungan itu kata Wisma Putra, adalah bagi kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan berkaitan isu-isu serantau semasa dan isu-isu antarabangsa yang mempunyai kepentingan kedua-dua negara.

Statistik menunjukkan perdagangan dua hala Malaysia-Korea Selatan meningkat sebanyak 13.6 peratus pada tahun lalu kepada RM67.71 bilion beebanding tahun sebelumnya.

Korea Selatan adalah rakan dagang global kelapan terbesar dan pelabur asing ke-18 terbesar Malaysia pada tahun lalu. - UTUSAN ONLINE