Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, 14 hakim dari Malaysia, Indonesia, Arab Saudi, Singapura, Brunei, Jordan dan Mesir juga dijemput untuk mengikuti lawatan tersebut.

“Sekretariat telah menyusun beberapa lawatan untuk para peserta dan hakim sebagai sebahagian daripada acara (tilawah) bagi memperkenalkan Malaysia ke dunia.

“Harapan saya semoga semua pihak akan mengambil bahagian dalam program ini bagi mengenali Malaysia dengan lebih baik dan teliti, bertukar pandangan, berkongsi pengalaman budaya serta yang paling penting menghargai intipati ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Penganjuran kali ini berbeza dengan yang sebelumnya apabila buat kali pertama diadakan di KLCC, lokasi berdekatan dengan menara berkembar Petronas berbanding Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang cukup sinonim dengan majlis tersebut selama ini.

Program bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat itu diadakan selama enam hari bermula hari ini melibatkan 107 peserta tilawah dan hafizan dari 71 negara.

Terdahulu, Fuziah berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggalakkan nilai dan kebudayaan Islam melalui Rahmatan lil’alamin dan Maqasid Syariah yang diterjemahkan menerusi tindakan serta keperibadian yang tinggi.

“Dua pendekatan ini membentuk model negara Islam berbilang kaum yang akhirnya dicontohi dunia luar,” katanya. - UTUSAN ONLINE