Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program latihan itu merupakan sebahagian daripada laporan aktiviti yang dikongsi bersama negara Asia Tenggara lain seperti digariskan dalam tujuh bidang keutamaan sebelum ini.

Katanya, langkah memperluaskan program latihan tersebut perlu dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha melindungi murid dan pelajar sekolah terutamanya yang berada di lokasi berisiko ditimpa bencana.

“Kita telah maklumkan dalam pembentangan sesi ­Dialog Strategik antara Menteri-Menteri Pendidikan semalam, latihan itu kita akan buat di seluruh negara menerusi pejabat pendidikan daerah masing-masing.

“Jadi, guru-guru ini te­lah dilatih untuk mengajar jika berlaku sebarang krisis berkaitan menerusi program latihan secara praktikal,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas sesi terakhir Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEC) kali ke-49 di sini hari ini.

Secara keseluruhannya, persidangan dwitahunan itu dihadiri kira-kira 200 peserta daripada 14 buah negara termasuk beberapa delegasi ­asing yang bertindak sebagai pemerhati.

Selain Mahdzir, delegasi Malaysia turut disertai Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus serta beberapa kenamaan lain.

Wakil Malaysia, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pulai, Johor turut melakar sejarah tersendiri pada persida­ngan itu apabila dipilih sebagai pemenang kedua bagi Anugerah Peranti Jimat Tenaga (ESD) SEAMEO-Jepun 2016 sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah AS$1,000 (RM4,282) beserta plak dan sijil penghargaan.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir memberitahu, Indonesia menerusi Kementerian Pendidikan dan Kebudayaannya menyatakan hasrat memperbaharui semula memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pendidikan antara kedua-dua negara yang ber­akhir sejak 2008 yang lalu.

Katanya, draf berkaitan dokumen itu telah diterima dan kementeriannya bersedia menandatangani semula MoU itu dalam masa terdekat ini. – UTUSAN