Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pemantauan akan dilakukan terhadap pusat-pusat asuhan sebagai langkah bagi menjamin keselamatan kanak-kanak yang dihantar di situ.

“Kejadian yang menimpa bayi berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal merupakan insiden yang tidak wajar berlaku dan hal ini perlu diambil perhatian serius khusunya dalam memastikan pusat asuhan selamat.

“PDRM akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap pengusaha pusat asuhan melibatkan latar belakang dan rekod lampau bagi memastikan mereka layak atau tidak untuk menjalankan perkhidmatan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman dan Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia, Datuk Aishah Mohammad.

Beliau mengulas kematian Nur Muazara Ulfa yang meninggal dunia di Hospital Serdang,akibat didera fizikal dan seksual oleh pengasuhnya. - UTUSAN ONLINE