LAT

Lat berkata, karya tersebut mengambil masa yang lama iaitu selepas 28 tahun edisi pertama Mat Som diterbitkan, berikutan perincian yang beliau berikan dalam Mat Som 2.

Beliau mahu ge­nerasi muda sekarang melihat kehidupan yang pernah beliau lalui yang sebenarnya tidaklah semudah kehidupan yang dilalui generasi sekarang.

“Saya lihat anak muda sekarang banyak mengeluh me­ngenai kesusahan yang sebenarnya kami sudah hadapi dulu,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Memperkenalkan Tifl al-Qaryah (Kampung Boy) di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (RIBF) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh (RICEC) di sini hari ini.

Lat berkata, Mat Som 2 turut menggambarkan sebahagian kehidupan wartawan berdasarkan pengalamannya tetapi bukan rakaman kehidupan beliau secara peribadi.

Mat Som menceritakan tentang dilema dalam kehidupan penulis sambilan, Mat Som Mat Top di ibu kota dan pada masa sama, mengimbau zaman kanak-kanak di kampung halaman.

Karya Lat ini pernah diadaptasi ke filem dengan menggunakan judul Mat Som pada 1990 yang dilakonkan oleh Imuda.

Dalam pada itu, Lat memberi­tahu, karya Kampung Boy yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab habis terjual sebelum sesi memperkenalkan buku ber­kenaan berlangsung.

“Buku itu mendapat sambutan baik dan ramai pengunjung dari kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah hinggalah guru ingin tahu terhadap budaya masyarakat kita.

“Pembaca di Arab Saudi akan dapat membaca bagaimana kehidupan masyarakat Islam di negara kita kerana saya paparkan kehidupan tradisi orang Melayu yang juga mempunyai hubungan dengan hukum-hakam Islam, sekali gus memberikan persamaan antara kedua-dua masyarakat di Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.